KUALA LUMPUR, 13 OGOS 2009: Penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, Ustaz Mohd Asri Ibrahim, 40, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 11 pagi tadi akibat serangan jantung di Hospital Pantai, Bangsar.
Menurut rakannya, Farihin Abdul Fatah, Allahyarham meninggal dunia selepas rebah dan pengsan ketika memberikan ucapan dalam sidang media program Syahadah di Angkasapuri, Radio Televisyen Malaysia (RTM), kira-kira jam 10.30 pagi tadi.
Selain seorang penyanyi nasyid, Ustaz Asri juga seorang pendakwah, bilal dan kerap menjadi imam dalam pelbagai program bercorak ibadah kerana pengetahuan agama dan kelunakan suaranya itu. Beliau yang dilahirkan pada 3 Ogos 1969 di Klang, Selangor juga baru menyambut ulang tahun kelahiran ke-40, minggu lalu.
Pemergian mengejut Allahyarham bukan saja mengundang kejutan buat karyawan muzik, rakan seperjuangan serta peminatnya, malah ia dianggap sebagai satu kehilangan besar buat industri muzik tanah air khususnya dalam arena muzik nasyid sendiri.
Farihin yang banyak terbabit dengan pembikinan album nasyid berkata, Allahyarham memang sentiasa bekerja keras, cukup konsisten dan serius dalam mengembangkan irama nasyid kepada seluruh pendengar.
"Perjuangannya berdakwah dengan nasyid cukup lama iaitu sejak beliau masih lagi remaja dan tidak pernah berhenti berjuang untuk memastikan nasyid mendapat tempat di kalangan masyarakat.
"Mungkin ramai yang mengenali Ustaz Asri ketika dia sudah menganggotai Rabbani tetapi ramai tidak tahu bahawa dialah antara penyanyi nasyid yang menjayakan lagu Asma Ul-Husna yang pernah ditayangkan di RTM satu masa dulu.
.............."AL-FATEHAH"............