<font color="0000ff">BUDAK MENINGGAL DIPERCAYAI TERCEKIK MUNTAH SENDIRI
Oleh
Linilidia Abdul Hamid
SEORANG budak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia Selasa lalu dipercayai setelah tercekik muntahnya sendiri.
Menurut ibunya, Cik Mardianah Abdul Wahab, kejadian itu berlaku sekitar 9.40 malam semasa arwahnya, Nurhan Amyr, sedang membuat kerja sekolah.
Melihat anak lelakinya itu mula berpeluh dan terasa mual Cik Mardianah, 37 tahun, menyuruhnya ke tandas.
'Kali pertama dia muntah, tidak ada masalah. Tapi kali kedua saya lihat dia seperti tercekik dan sukar bernafas,' ujar Cik Mardianah, seorang suri rumah, semasa ditemui Berita Harian di rumahnya di Pasir Ris Street 52, semalam.
Beliau membawa Nurhan yang telah longlai keluar daripada tandas dan cuba memberikan bantuan kecemasan dari mulut ke mulut (CPR).
Semasa melakukan CPR, Cik Mardianah melihat semakin banyak muntah yang keluar daripada mulut Nurhan. Beliau kemudian menghubungi ambulans dan Nurhan dibawa ke Hospital Besar Changi (CGH) di Simei.
Allahyarham Nurhan disahkan meninggal dunia pada 10.29 malam hari yang sama.
Sebab kematian yang dicatatkan di sijil kematian anak bongsu tiga beradik itu ialah 'jantung dan pernafasan terhenti sementara menanti siasatan lanjut'.
Allahyarham Nurhan yang dikebumikan kelmarin mempunyai sejarah menghidap penyakit ekzema (radang pada kulit) dan alah kepada coklat dan kacang.
Menurut ibunya: 'Hari itu, dia memang sihat. Cuma, ada berapa kali dia mengadu rasa nak muntah tapi tak keluar bila dia ke tandas. Selepas itu, dia nampak seperti biasa.'
Cik Mardianah menyifatkan Allahyarham Nurhan sebagai seorang kanak-kanak yang peramah, suka makan dan meminati rancangan memasak.
Menurut Cik Mardianah, beliau dan suaminya, Encik Jalaludin Haji Muhammad, 35 tahun, memandikan sendiri jenazah anak mereka.
Menurut Cik Mardianah lagi, pemergian Allahyarham Nurhan amat dirasakan oleh kakaknya, Nurya Durrah Alwani Jalaludin, tujuh tahun, yang sebelum ini tidur sebilik dengan Allahyarham Nurhan.
Katanya: 'Nurya memang rapat dengan Nurhan. Kadang-kadang, setelah saya suruh mereka masuk tidur, saya masih dengar mereka bergurau. Tadi (semalam), Nurya ada beritahu saya dia mimpikan Nurhan.'
Cik Mardianah yang kelihatan tenang sepanjang diwawancara tidak dapat menahan linangan air mata apabila mengenangkan kata-kata yang pernah diucapkan Allahyarham Nurhan kepadanya.
Katanya: 'Bila saya marah dia, dia kata kepada saya, Mama, why you scold me? You know I love you right?' (Mama, kenapa marah saya? Mama tahu saya sayang mama kan?)
</font>