Angelica Cheng
Active Member
Soalan
Assalammualaikum, adakah boleh perempuan bujang bekukan ovum siap-siap untuk disimpan dulu? Kemudian, apabila dah jumpa pasangan untuk berkahwin, barulah disenyawakan dan diteruskan proses-proses lain. Saya rasa khuatir akan menopause dan mengalami masalah kesuburan sebelum berkahwin kerana saya semakin berusia.
Ringkasan Jawapan
Hukum mengeluarkan benih sebelum akad nikah untuk disenyawakan selepas berkahwin adalah haram. Bahkan membekukan ovum kerana lambat berkahwin dengan sangkaan tidak subur pada masa hadapan adalah alasan yang tidak boleh diterima syarak kerana ia bukan dalam lingkungan pengetahuan kita sebagai manusia. Justeru itu, hukum bekukan ovum atas alasan tersebut adalah haram.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.
Pembekuan Ovum
Oocyte cryopreservation adalah satu kaedah pembekuan dan penyimpanan telur (oosit, ovum, sel telur wanita) yang matang untuk kegunaan pada masa akan datang. Telur atau oosit ini akan dikeluarkan daripada ovari dan disimpan di dalam cecair nitrogen (LN2) pada suhu yang rendah. Kebiasaanya pembekuan telur ini dilakukan oleh pesakit kanser yang sudah berkahwin sebelum menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi. Kemudian, oosit yang sama yang telah disimpan tadi digunakan untuk mendapatkan anak melalui Teknologi Bantuan Pembiakan atau Assisted Reproductive Technology (ART) dengan pasangannya.[1]
Proses Pengumpulan Ovum
Oocyte pick-up (OPU) / pengambilan oosit merupakan proses mengeluarkan telur atau ovum dari organ persenyewaan wanita. Pengeluaran oosit (oocyte retrieval) dari ovari hanya boleh dilakukan secara invasive iaitu dengan menggunakan kaedah stimulasi ovari untuk menghasilkan oosit yang banyak, kemudian oosit diekstrak daripada ovari menggunakan jarum dengan bantuan transvaginal ultrasound. Prosedur ini dilakukan di dewan bedah dengan bius penuh (general anaesthesia). Prosedur perolehan dan penyimpanan oosit hendaklah direkodkan dan disahkan oleh dua orang pengamal perubatan.[2] Prosedur ini juga yang digunakan semasa rawatan in-Vitro Fertilisation (IVF) untuk mengeluarkan telur daripada ovari isteri.
Mengeluarkan Ovum Sebelum Akad Nikah
Mengeluarkan sperma bagi lelaki dan ovum bagi perempuan atau perbuatan meminta mengeluarkan air mani adalah sama maksudnya dengan istilah istimna’ (استمناء). Istimna’ pada sudut bahasa menurut fuqaha ialah mengeluarkan mani dengan tapak tangan dan seumpamanya bukan dengan cara bersetubuh.[3]
Pada sudut istilah, mengeluarkan air mani tanpa melalui proses bersetubuh, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri”. Adapun istimna’ pula adalah keinginan (permintaan) untuk mengeluarkan air mani dalam keadaan sedar dengan apa cara sekalipun, dan ia berlaku dalam kalangan lelaki dan juga wanita. [4]
Secara umumnya, mengeluarkan air mani dengan sengaja adalah dilarang dan ditegah dalam Islam. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
(7) وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ (5) إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ (6) فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ
Maksudnya: “Dan mereka yang menjaga kehormatannya. Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.”
Surah al-Mu’minun (5-7)
Berdasarkan dalil berikut, Imam al-Nawawi mengatakan haram kerana ia membawa kepada putusnya keturunan, maka ia diharamkan sepertimana liwat.[5]