sad news....
Budak meninggal lepas cedera teruk di kepala dipercayai didera
Oleh
Nurul Dayana Simangoon
SEORANG budak perempuan berusia dua tahun meninggal dunia sekitar 11 malam kelmarin akibat kecederaan teruk di kepala, dipercayai akibat dihentak oleh teman lelaki ibunya.
Allahyarhamha Seri Alyaniz Nazri (gambar kecil), tidak dapat diselamatkan setelah berada dalam keadaan koma di Unit Jagaan rapi (ICU) Hospital Universiti Nasional (NUH) hampir seminggu iaitu sejak Khamis lalu.
Allahyarhamha, yang juga digelar dengan panggilan manja 'Abot', dikebumikan petang semalam.
Teman lelaki ibunya yang berusia 29 tahun merupakan seorang penganggur.
Kelmarin, lelaki tersebut dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menyebabkan kecederaan teruk ke atas Allahyarhamha.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu Khamis lalu di sebuah flat di Bukit Panjang.
Ibu bapa Allahyarhamha yang ditemui di flat bapanya di Jurong West semalam enggan ditemu ramah.
Ibu Allahyarhamha, yang berusia 28 tahun, dan bapanya yang berusia 29 tahun, telah bercerai dua tahun lalu.
Allahyarhamha dan kakaknya yang berusia empat tahun tinggal bersama bapa mereka sejak ibu bapanya bercerai.
Namun, Seri Alyaniz dipercayai tinggal bersama ibunya di Bukit Panjang sejak sebulan lalu manakala kakaknya, masih tinggal bersama bapa mereka di Jurong West.
Menurut rakan karib bapa Allahyarhamha, Encik Mohd Shahril Sudohmoh, 34 tahun, doktor menemui dua ketul darah beku di bahagian otak Allahyarhamha.
Encik Mohd Shahril yang sering menjenguk anak rakannya itu di ICU berkata, doktor juga mendapati otak budak itu mengalami kerosakan dan bengkak teruk.
Beliau berkata Allahyarhamha, yang ketika itu dalam keadaan koma, telah menjalani dua pembedahan di kepalanya untuk mengeluarkan darah beku.
Kali pertama pembedahan itu dijalankan pada Isnin lalu dan yang kedua pula dijalankan Rabu lalu.
Namun, doktor mengesahkan tiada harapan bagi Seri Alyaniz setelah pembedahan kedua dijalankan Rabu lalu dan budak itu meninggal dunia sekitar 11 malam di pangkuan keluarga.
Menceritakan lanjut, Encik Mohd Shahril berkata:
'Saya masih tak percaya atas apa yang berlaku kepada Seri Alyaniz. Sampai sekarang hal ini menjadi tanda tanya. Kami tidak begitu pasti apa yang terjadi sebenarnya.'
Mak cik Allahyarhamha, Cik Lydia Rahman, 21 tahun, yang ditemui semalam pula berkata:
'Abot amat ceria budaknya, banyak bercakap dan suka bermain.'
Sambil menunjukkan wartawan gambar-gambar Allahyarhamha di telefon bimbitnya, beliau berkata lagi: 'Abot amat manja, cantik, dan suka bergaya di kamera.'