<font color="0000ff"><font size="+2">Pukul isteri sampai mati</font>
KUALA LUMPUR: Cemburu buta mendorong seorang lelaki mengamuk dan membunuh isterinya dengan memukul bertubi-tubi menggunakan cerek serta wayar elektrik sebelum menghentak kepala mangsa ke dinding dalam kejadian di sebuah hotel di Jalan Kepong, Jinjang di sini, semalam.
Difahamkan, mangsa, Subaidah Abu Bakar, 30, dan suspek berusia 34 tahun yang menetap di Slim River, Perak, menyewa di hotel itu sejak Jumaat minggu lalu sejurus tiba di ibu kota untuk mencari pekerjaan.
Selepas dua hari pasangan berkenaan berpindah bilik dan suspek keluar mengambil rakan isterinya dikenali sebagai Devi, 20, di Slim River yang turut mahu bekerja serta menyewa bersama mereka.
Bagaimanapun, sekembali ke bilik hotel, pergaduhan besar berlaku antara pasangan suami isteri itu bermula kira-kira jam 12 tengah malam sehingga 4 pagi semalam, apabila suspek mendakwa mangsa mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.
Suspek ‘naik gila’ dengan membogelkan isterinya sebelum memukulnya dengan cerek dan wayar elektrik selain menghantuk kepala mangsa ke dinding sehingga cedera parah.
Rakan isterinya yang dipercayai cuba meleraikan pergaduhan itu turut dibelasah sehingga lebam teruk di mata dan badan.
Selepas puas menyeksa, suspek membawa rakan mangsa yang baru tiba dari Slim River itu keluar makan di kawasan berhampiran dengan meninggalkan mangsa menahan sakit bersendirian tanpa membawa bersama kunci bilik terbabit.
Suspek yang pulang ke hotel sejam meminta bantuan pekerja hotel untuk membuka pintu bilik dan sebaik pintu dibuka, dia terkejut apabila mendapati mangsa sudah meninggal dunia.
Kerana ketakutan, suspek mengambil semua barangan peribadi miliknya dan mangsa sebelum melarikan diri menaiki sebuah van Nissan Vannete.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, yang mengesahkan kejadian itu berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan orang awam kira-kira jam 5.30 pagi.
“Polis menemui mayat mangsa terbaring atas lantai berdekatan katil dalam keadaan bogel dengan separuh badannya ditutupi selimut.
“Siasatan awal mendapati mangsa mati akibat dipukul secara berterusan oleh suspek menggunakan cerek dan wayar elektrik yang ada di bilik hotel terbabit selain kepalanya dihentak kuat ke dinding.
“Ia berikutan polis menemui kesan kemek pada cerek selain kesan darah di dinding. Bagaimanapun, tiada senjata lain ditemui di sekitar tempat kejadian,” katanya.
Menurut Zakaria, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
“Kami sedang memburu suspek yang dikenali sebagai Zul Fikar Aly Moideen, 34, yang beralamat di Chepor Indah, Chemor, Perak, untuk membantu siasatan. Dia dipercayai melarikan diri dengan menaiki van Nissan Vannete biru bernombor plat WNB 5698.
“Kita juga berusaha meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) hotel berkenaan dan merekodkan keterangan saksi iaitu rakan mangsa untuk siasatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan kejadian berpunca cemburu dan suspek ketika itu dipercayai berada di bawah pengaruh dadah.
Difahamkan, pasangan itu sudah berumahtangga sejak sembilan tahun lalu serta tidak mempunyai cahaya mata sering bertengkar dan mangsa turut didera suspek dengan dipukul menggunakan besi atau puntung rokok.
Sementara itu, seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, dia menerima panggilan daripada suspek malam kelmarin meminta segera mengambil mangsa yang juga anak saudaranya di hotel berkenaan.
“Saya yang menetap di Jempol, Negeri Sembilan, tiba kira-kira jam 10 pagi di sekitar Kepong dan terus menghubungi suspek, namun panggilan tidak dijawab.
“Sejurus tiba di depan hotel berkenaan, saya dimaklumkan anak saudara saya sudah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, mangsa kerap mengadu didera teruk suaminya sebelum dia melarikan diri dan bersembunyi di rumah bapanya di Jempol kerana ketakutan dan tidak tahan dipukul.
</font>