Dari BH
TENGKU FAKHRY BERI ISTERI TUJUH HARI BUKTIKAN DIANIAYA
KUALA LUMPUR: Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra, memberikan tempoh tujuh hari kepada isterinya, Cik Manohara Odelia Pinot, untuk mengemukakan bukti dakwaan bahawa beliau didera atau menghadapi tindakan undang-undang.
Demikian kata dua yang diberikan oleh putera ketiga Sultan Kelantan itu semalam melalui sahabat karibnya, seperti yang dilaporkan dalam laman berita dalam talian tempatan.
'Tengku TT (Tengku Temenggung) tuntut bukti (penderaan). Sekiranya gagal dalam tempoh seminggu, beliau akan mengambil tindakan balas,' kata Encik Mohd Soberi Shafii, sahabat karib Tengku Muhammad Fakhry, ketika dihubungi laman berita Malaysiakini petang semalam.
Encik Mohd Soberi berkata, Cik Manohara dan ibunya, Cik Daisy Fajarina, juga dituntut supaya membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap kesemua dakwaan yang dibuat sebelum ini.
Beliau menambah, tindakan susulan melalui mahkamah atau pihak berkuasa terhadap Cik Manohara dan Cik Daisy akan ditentukan setelah mereka melantik peguam yang sesuai - iaitu selepas tamat tempoh akhir yang diberikan pada 9 Jun ini.
Ahad lalu, Cik Manohara dilaporkan melarikan diri daripada suaminya, Tengku Muhammad Fakhry, semasa beliau menginap di Hotel Royal Plaza dengan pertolongan kedutaan Amerika Syarikat dan kedutaan Indonesia di Singapura, selepas menziarahi Sultan Kelantan yang sedang mendapatkan rawatan di Singapura.
Model Indonesia itu memberitahu media negaranya bahawa beliau didera secara emosi, fizikal dan seksual oleh suaminya, termasuk disuntik dengan bahan hormon bagi menggemukkan badannya ketika berada di Kelantan.
Kelmarin, Cik Manohara turut dilaporkan bakal menjalani pemeriksaan perubatan di Indonesia bagi membuktikan dakwaannya itu.
Bagaimanapun, sehingga lewat semalam, Cik Daisy masih belum dapat dihubungi media Malaysia itu bagi mengesahkan perkara tersebut.
Mengulas lanjut, Encik Mohd Soberi berkata Tengku Muhammad Fakhry mengalu-alukan isterinya melakukan pemeriksaan perubatan.
Namun, putera Kelantan itu hanya akan mengiktiraf pemeriksaan perubatan itu sekiranya ia dilakukan oleh pengamal perubatan yang berkecuali.
'Kami alu-alukan dengan syarat bukan dibuat di Indonesia atau Malaysia, bukan (dikendalikan oleh pakar) rakyat Indonesia atau Malaysia.
'Buatlah di mana-mana pun sama ada di Australia, Amerika Syarikat, London atau Perancis,' katanya yang ditukil dalam laporan Malaysiakini itu.
Encik Mohd Soberi berkata Tengku Temenggung juga meminta Cik Manohara dan Cik Daisy membuat laporan polis di Malaysia jika yakin mereka berada di pihak yang benar.
'Tengku TT akan jamin keselamatannya di sini. Kami akan meminta polis beri kerjasama,' kata Encik Mohd Soberi, yang juga seorang peniaga di Kuala Lumpur.
Ditanya tentang keadaan Tengku Muhammad Fakhry sekarang, Encik Mohd Soberi berkata putera raja itu 'tenang' tetapi 'dukacita' dengan sikap isterinya itu, yang sanggup menabur fitnah terhadapnya.
Tengku Muhammad Fakhry juga dikatakan tidak berniat memujuk isterinya supaya tidak memfailkan perceraian terhadapnya.
'Pujuk tak ada. Tetapi kalau ada keinsafan, beliau akan pertimbangkan memberi kemaafan,' kata Encik Mohd Soberi.
Menurutnya, putera Kelantan itu juga tidak akan menghubungi isteri dan ibu mentuanya di Jakarta kerana 'kebiadaban' Cik Daisy yang tidak mahu bertemu dengan Sultan Kelantan ketika beliau sakit di Singapura.
'Sikap kurang ajar (Daisy) itu tidak ada kompromi,' ujar Encik Mohd Soberi.
Kelmarin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan sebagai berkata kerajaan Malaysia tidak akan campur tangan kerana ia 'perkara peribadi'.