Dari BH...
TIGA LAGI KES DIKESAN DI SINI
Keadaan pesakit tidak serius, kini dirawat di TTSH
TIGA lagi kes Influenza A (H1N1) dikesan di sini.
Ini menjadikan kesemuanya empat pesakit disahkan menghidap penyakit tersebut sejauh ini.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) malam tadi, kesemua tiga kes baru itu sedang dirawat di Pusat Penyakit Berjangkit (CDC) di Hospital Tan Tock Seng.
Namun, tanda-tanda jangkitan yang mereka hidapi didapati ringan dan keadaan mereka dilaporkan stabil.
Memberikan perincian kes tersebut, MOH berkata selain pesakit pertama, seorang pelajar Universiti Pengurusan Singapura (SMU) yang disahkan menghidap flu H1N1 kelmarin, kes kedua melibatkan seorang wanita Penduduk Tetap Singapura berusia 43 tahun.
Beliau pulang ke Singapura dari San Francisco, Amerika Syarikat, menerusi Manila dengan pesawat Singapore Airlines SQ 917 petang Selasa lalu.
Wanita berkenaan berasa tidak sihat semasa dalam penerbangan.
Kes ketiga pula melibatkan seorang wanita Amerika berusia 28 tahun yang bekerja di sini.
Beliau pulang ke Singapura dari Honolulu, Hawaii, menerusi Tokyo, Jepun, dengan pesawat United Airlines UA 803, pada malam Selasa lalu.
Wanita tersebut berasa tidak sihat pada hari beliau tiba di sini.
Kes keempat ialah seorang lelaki rakyat Singapura berusia 28 tahun yang pulang dari Chicago, Amerika, menerusi Hongkong dengan pesawat United Airlines UA 895.
Beliau juga berasa tidak sihat pada hari kepulangannya itu.
Menurut MOH, pihaknya kini giat menghubungi rakan-rakan rapat mereka termasuk para penumpang yang menaiki pesawat yang sama, khususnya yang berada di tempat duduk tiga barisan di depan dan tiga barisan di belakang kesemua pesakit itu.