DERA ANAK TEMANITA BERUSIA TIGA TAHUN HINGGA MATI
SEORANG penganggur sedikit pun tidak ada belas ihsan - menumbuk bertalu-talu muka anak lelaki temanitanya berusia tiga tahun dan menghantuk kepalanya pada bingkai pintu.
Selama tiga hari, Firdaus Abdullah, 27 tahun, melepaskan geramnya terhadap Muhammad Izzul Salihin Muhammad setiap kali budak itu menangis.
Dia juga memicit, menggoyang dan menggigit kemaluan budak itu.
Malah dua hari sebelum itu Firdaus mengetuk kepala Muhammad Izzul dengan buku limanya apabila dia terus menangis dan tidak mahu badannya dilap dengan tuala.
Penderaan itu menyebabkan Muhammad Izzul cedera teruk di kepala dan mengalami mati otak pada 18 Januari tahun lalu, empat hari selepas dimasukkan ke Hospital Wanita dan KanakKanak KK.
Pemeriksaan ke atas mayatnya mendapati kecederaan pada muka, kepala, tengkuk, lengan, perut, kemaluan dan mata.
Terdapat juga pendarahan di kedua-dua mata Muhammad Izzul.
Firdaus mulanya dituduh membunuh Muhammad Izzul tetapi tuduhan kemudian diubah kepada menyebabkan kecederaan teruk dan memberi layanan buruk terhadap budak itu antara 12 dengan 14 Januari tahun lalu.
Mahkamah diberitahu Firdaus dan ibu budak itu menjalin hubungan romantik.
Pada pertengahan 2007 dia tinggal bersama anak-beranak itu di flat mereka di Jalan Minyak, dekat Chin Swee Road, selepas suami ibu budak itu pindah.
Pihak pendakwa memberitahu mahkamah Firdaus iri hati kerana temanitanya lebih memberi perhatian kepada anaknya daripada dirinya.
Mereka sering bertengkar dan ini membuat Muhammad Izzul lebih rapat pada ibunya. Dia kerap menangis dan mahu ikut ke mana ibunya pergi.
Pada Disember 2007, perasaan marah dan benci Firdaus terhadap budak itu tambah meluap. Dia semakin hilang sabar terhadap Muhammad Izzul dan melakukan penderaan tersebut.
Di akhir perbicaraan sembilan hari semalam, Hakim Daerah F.G. Remedios menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan sebat 12 kali ke atas Firdaus.