<font color="119911">another case</font>
WANITA DAKWA KELUARGA CIRIT-BIRIT MAKAN MAKANAN DIBELI DI GEYLANG
Oleh
Siti Aisyah Sa'id
SELEPAS digemparkan dengan kes keracunan makanan akibat memakan rojak India, Cik Lina Mohd, 40 tahun, pula mendakwa keluarganya turut mengalami cirit-birit, tetapi setelah memakan makanan yang dibeli di Pasar Sementara Geylang Serai.
Cik Lina mendakwa keluarganya pada Khamis lalu menempah makanan tersebut di salah sebuah gerai berdekatan dengan gerai rojak India yang ‘tercemar' itu untuk majlis tahlil keluarganya.
Namun, beliau enggan mendedahkan nama gerai yang menjual makanan itu.
Menurutnya, keluarga beliau membeli makanan tersebut untuk 50 orang dan membawanya pulang ke rumah adiknya di Bedok sekitar 4 petang.
Cik Lina berkata pada sebelah malamnya, sekitar 30 anggota keluarganya memakan makanan itu selepas majlis tahlil.
'Daripada 30 orang yang hadir, hanya lima yang tidak mengalami cirit-birit. Yang lain semua mengadu sakit perut.
'Beberapa jam selepas makan, ramai anggota keluarga saya sakit perut dan hampir empat lima kali ke tandas pada malam yang sama.
'Saya adalah antara orang yang tidak kena cirit-birit. Kebetulan pada hari itu saya berasa tidak sedap badan dan hanya menjamah sedikit sahaja makanan itu,' ujar beliau.
Menurutnya, tiada apa yang tidak kena pada makanan tersebut seperti bau tidak enak atau rasa seperti hendak basi.
Mereka tidak pula menghidangkan makanan lain dalam majlis itu.
Cik Lina, yang merupakan Pakar Perunding Jualan di sebuah syarikat katering, berkata:
'Kami tidak mahu pergi ke klinik dan hanya banyak minum air kerana tidak mahu memperbesarkan hal itu.
'Tetapi, anak-anak saudara saya yang duduk serumah beberapa kali buang air besar.
'Setelah berita tentang ramai yang sakit setelah makan rojak disiarkan, saya menghubungi saudara mara saya untuk dapatkan kepastian dan mereka mengakui terkena cirit-birit.
'Hanya seorang yang ke klinik mendapatkan rawatan.'