ingat lagik cerita pasal scandal dgn guru silat...nie dari anak dia pula....
sumber dari BH
AYAH DIPERSALAH SEBAGAI PENYEBAB KELUARGA PORAK-PERANDA
Anak-anak dakwa ibu difitnah sebab bapa cemburu akan guru silat
Oleh
Saini Salleh
ANAK-ANAK seorang pemandu yang mendakwa isterinya menjalin hubungan sulit dengan seorang guru silat sehingga memporak-perandakan rumah tangganya menyalahkan ayah mereka sebagai punca masalah tersebut.
Mereka tidak percaya ibu mereka melakukan perbuatan tersebut dan menyifatkan dakwaan ayah mereka itu sebagai fitnah kerana berasa cemburu terhadap guru itu.
Sanggahan yang bertujuan 'memperbetul keadaan' itu mereka kirimkan menerusi e-mel kepada Berita Harian sebagai susulan laporan berjudul Mahligai kecai dek isteri 'sangkut' guru silat anak yang disiarkan Isnin lalu.
Dalam laporan itu, ayah mereka, Encik Buang (bukan nama sebenar), menuduh isterinya bermain kayu tiga dengan guru silat anak-anak mereka.
Beliau mendakwa anak-anaknya, setelah digertak, memberitahunya mengenai perbuatan curang isteri beliau itu dan mempunyai rakaman video yang menunjukkan isterinya pergi ke sebuah hotel bersama guru berkenaan.
Menyanggah dakwaan itu, anakanak Encik Buang merintih: 'Kami tidak mungkin akan menyebelahi ibu kami sekiranya beliau sejahat itu dan sanggup hidup susah bersama ibu.
'Tentunya kami akan memilih untuk bersama ayah. Hari ini kami hidup merempat menumpang di rumah saudara tanpa ayah memberikan nafkah kepada kami.
'Dan kejamnya ayah kami, yang tergesa-gesa menjual rumah sebaik sahaja membuat pengaduan kepada mahkamah yang kononnya ibu kami berlaku curang, tanpa mahu memikirkan perlindungan untuk kami adik-beradik yang beliau kata beliau sayangi.'
Berkenaan dakwaan si ibu memberi makanan kepada guru silat tersebut, mereka berkata:
'Bertahun-tahun keluarga kami dan keluarga guru kami hidup seperti keluarga, kami saling bertukar-tukar juadah, dan ayah saya adalah salah seorang yang turut menjamah juadah pemberian keluarga guru saya itu.
'Sebenarnya perkongsian makanan ini bukan sahaja terjadi di antara dua keluarga ini, banyak keluarga lain yang terlibat sama, lebih-lebih lagi dalam bulan puasa.'
Sambil mempertahankan ibu mereka yang disifatkan makan hati berulam jantung, anak-anak itu berkata: 'Telah lama ibu berdiam diri dengan sikap ayah yang selalu menghina dan memaki hamun beliau.
'Ibu tidak pernah melalaikan tanggungjawabnya tentang pengurusan rumah tangga dan makan minum kami, walaupun dengan peruntukan kecil yang ayah berikan kepada beliau.'
Menurut e-mel anak-anak itu, mereka sedar ayah mereka berubah kerana rasa iri hati terhadap kejayaan guru berkenaan dalam silat dan rasa cemburu tersebut mendorong beliau sengaja cuba memporak-perandakan keluarga guru itu.
'Ditambah pula dengan adanya hasutan daripada rakan-rakan silatnya yang lain yang mempunyai kepentingan untuk menjatuhkan guru kami, tetapi usaha beliau itu akhirnya memporak-perandakan keluarga kami sendiri,' tambah mereka.