APABILA saja suami kerja malam, si isteri pula sibuk kerja overtime kononnya untuk menampung keperluan keluarga.
Tanpa pengetahuan suami, Dilah (bukan nama sebenar), 41 tahun, yang tergesa-gesa pasang badan sejurus habis kerja 5 petang, melencong ke tempat lain.
Bersama seorang teman lelaki yang bekerja di bahagian lain di kilang yang sama, mereka mulanya sekadar berbual mesra sambil menghirup angin malam di taman-taman.
Kemesraan yang dijalin menyebabkan pergaulan mereka tidak lagi dibatas rindu, sebaliknya hingga ke bilik-bilik hotel.
Teman lelaki berusia 40 tahun dan telah berumah tangga itu lupa diri, tiga anaknya serta isteri.
Dilah juga semakin kurang beri perhatian kepada tiga orang anaknya.
Wanita bertubuh gebu yang tidak lepas memakai tudung itu pula semakin dingin terhadap suaminya, Kamal (bukan nama sebenar) yang bertubuh sasa dan berusia dalam lingkungan lewat 40-an tahun.
Makan minum dan kasih sayang terhadap suami mula reda.
Dilah semakin pentingkan kecantikan tubuh badan sendiri dan sanggup berhabis semata-mata mahu berbadan langsing dan menawan.
Perubahan sikap isterinya yang juga mula meninggalkan solat itu menyebabkan Kamal mula memendam rasa dan timbul syak wasangka.
Anak-anak juga bak anak-anak ayam kehilangan ibu.
Bahana tiada bukti, Kamal, 45 tahun, seorang pegawai keselamatan, pernah cuba- cuba serkap jarang dengan menuduh isterinya main kayu tiga tetapi Dilah menafikan sekeras-kerasnya.
Mereka sering bertengkar dan tiada lagi keharmonian rumah tangga.
'Sebagai suami dan hidup bersama hampir 10 tahun, tentu saya dapat rasa jika ada yang tidak kena.
'Cakap apa yang tidak cukup.... Makan minum, nafkah zahir dan batin, semua saya beri.
'Inilah isteri yang tak kenal untung. Saya kesian dengan anak-anak kerana hubungan kami yang semakin tegang menjejas pelajaran dan pendidikan anak-anak,' kata Kamal yang kesal dengan perubahan isterinya.
Beliau bertekad membuktikan kecurangan isterinya dengan memasang penyiasat privet.
Hasil beberapa kali mengekori Dilah keluar masuk hotel murah di sekitar Balestier, penyiasat privet itu, Encik Remmi, memberi jaminan kepada Kamal untuk memerangkap Dilah bersama teman lelakinya itu di depan matanya.
Perangkap tersebut mengena apabila bas yang Dilah naiki bersama teman lelakinya selepas keluar daripada hotel berhenti untuk mengambil Kamal di sebuah perhentian bas.
Kamal kemudian menyuruh mereka turun untuk bersemuka apabila bas berkenaan berhenti di perhentian selanjutnya.
Dilah hanya diam membisu dan ungkal untuk meminta maaf.
Teman lelakinya pula menggeletar ketakutan selepas dilempang Kamal beberapa kali.
'Buat apa simpan bini yang keluar masuk hotel dengan lelaki lain,' kata Kamal yang mengambil keputusan menceraikan isterinya yang curang itu.