dekni macam nak kena tembak dgn senapang gajah.....
SAYANG MEMEY
MEMEY berada di sisi tatkala dirinya berhadapan gelora rumah tangga. Buruk baik dirinya, Memey amat memahami. Bagi dirinya, Memey bukan sahaja jelita malah bijak orangnya.
Wanita itu malah dikatakan memahami masalah yang sedang dihadapinya dan perhatian yang diberikan kepadanya membuat dirinya berasa lebih dihargai.
Demikian pendedahan pelakon popular dari seberang tambak, Norman Hakim, yang kini dihimpit kontroversi ekoran ditangkap berkhalwat dengan pelakon baru, Memey.
Memey, atau nama sebenarnya Suhaiza Suhaimi, 20 tahun, adalah wanita yang Norman kenali semasa mereka menjalani penggambaran drama Pasrah.
Kini giliran Norman, atau nama sebenarnya Mohamed Nurhakim Zaidon, 32 tahun, pula terpaksa pasrah dengan ketentuan yang bakal berlaku pada dirinya.
Kes tangkap khalwatnya akan diketengahkan di mahkamah tidak lama lagi dan isterinya, pelakon popular Abby Abadi, 30 tahun, berhasrat menuntut cerai.
Tetapi siapakah Memey dan pandangan Norman terhadapnya?
Norman dalam laporan akhbar Berita Minggu Malaysia berkata:
'Faktanya, saya mengenali Memey bermula dengan penggambaran drama Pasrah. Selepas penggambaran drama itu berakhir, kami jarang bertemu, tapi ada ketikanya saya dan Memey berhubung.
'Apabila saya perhatikan, Memey sama seperti gadis lain yang pernah saya kenal. Tapi semakin mengenali dirinya, saya perhatikan Memey - beauty with brains (cantik dan bijak).'
Berdasarkan kenyataan Abby, 30 tahun, dalam laporan akhbar Utusan Malaysia, Abby berkata beliau mendapat banyak laporan Memey sudah lama tinggal di pejabat Norman di Ukay Perdana, Ampang.
Tetapi, sejauh manakah keakraban mereka itu?
Menjelaskan lebih lanjut, Norman, bapa tiga orang anak, Mohamed Danish Hakim, lima tahun; Marissa Dania Hakim, tiga tahun; dan Maria Danisha Hakim, sebulan setengah, berkata:
'Kami mudah berkomunikasi dan ada sesuatu dalam diri Memey membuatkan saya senang untuk bekerja dan lihat ada potensi dalam dirinya untuk sama-sama menguruskan syarikat (MDH Trading & Services milik Norman).
'Memey juga memahami visi saya untuk mencapai wawasan. Saya perhatikan, Memey boleh mengikut rentak saya. Baik atau buruk saya, dia boleh faham.
'Pada ketika saya berdepan pasang surut rumah tangga, Memey berada di sisi saya. Namun, saya tidak boleh meletakkan dirinya sebagai punca keretakan atau pasang surut rumah tangga saya dan Abby.
'Ada masa-masanya, Memey faham dengan masalah yang sedang saya hadapi. Perhatian Memey terhadap diri saya membuatkan diri ini lebih dihargai.'
Bagaimanapun, Norman yang bernikah dengan Abby, atau nama sebenarnya Arbaeyah Abdul Manan, pada 11 Januari 2002, menafikan perhubungannya dengan Memey keterlaluan.
'Perhubungan saya dan Memey tidak keterlaluan seperti yang disangka. Sebaliknya atas dasar memahami antara satu sama lain.
'Perasaan sayang itu memang ada. Apabila Memey boleh memahami diri saya dan sedia membantu dalam perniagaan, saya tak nafikan wujud sekelumit rasa sayang terhadap dirinya.
'Namun, saya tidak pernah berniat untuk menduakan Abby kerana dia bukan penyebab. Sekalipun terbit rasa sayang terhadap Memey, namun tanggungjawab saya sebagai suami dan ayah kepada rumah tangga serta anak-anak tak pernah diabaikan.'
Menurut Norman, beliau kini perlu berhadapan dengan apa jua kemungkinan dan perlu bersedia bertanggungjawab di atas apa yang berlaku.
'Saya perlu menjaga maruah keluarga dan dalam masa sama maruah keluarga Memey.
'Saya seboleh mungkin ingin mempertahankan rumah tangga demi anak-anak yang sedang membesar. Sekiranya pintu hati Abby benar-benar sudah tertutup untuk saya, saya berserah kepada Allah,' tambahnya.
Namun, beliau menafikan Memey menjadi puncanya.
'Buat masa ini, saya akur dengan kesalahan. Biarlah pihak Jais (Jabatan Agama Islam Selangor) dan pihak mahkamah menentukan sama ada saya dan Memey bersalah atau sebaliknya.
'Berilah ruang saya memperbetulkan kedudukan diri,' pintanya.