<font color="0000ff">takde stories ke?? meh aku bukak cerita..
<font color="ff0000">Berita Harian 9 Dec</font>
Tiga cuba selamatkan adik tapi turut lemas
MUADZAM SHAH (Pahang): Empat beradik meninggal dunia dalam kejadian menyayatkan apabila tiga daripada mereka lemas ketika cuba menyelamatkan adik mereka yang terjatuh ke dalam terusan di Ladang Kelapa Sawit Kota Bahagia di sini, kelmarin.
Dalam kejadian pada 2 petang itu, Muhammad Syukri Md Shamsuri dan Norsyafiqah - kedua-duanya berusia 15 tahun, serta Muhammad Syafiq, 12 tahun, dikatakan nekad terjun ke dalam terusan itu tetapi ketiga-tiganya turut lemas bersama adik mereka, Norsyakirah, lapan tahun.
Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Ketua Inspektor Abdul Rahman Abdul Jalil, berkata empat beradik itu serta dua lagi kembar berusia enam tahun, Nor Ain Syahirah dan Nor Ain Syariah, mengikuti ibu bapa mereka, Encik Md Shamsuri Maulana, 46 tahun, dan Cik Saeyah Mohd Noor, 38 tahun, ke terusan berkenaan untuk memancing dan berkelah sempena cuti sekolah.
Bagaimanapun, empat beradik itu memaklumkan mahu memancing dan mandi di kawasan berhampiran.
'Sebaik sampai di kawasan terbabit, Norsyakirah dipercayai tergelincir ke dalam terusan sedalam tujuh meter menyebabkan yang lain terjun bagi menyelamatkannya.
'Pada masa yang sama, bapa mangsa tergerak untuk melihat anak-anaknya yang berada agak jauh tetapi menjumpai joran serta selipar sebelum terlihat kelibat tangan mangsa terkapai-kapai di permukaan terusan berkenaan,' kata Encik Abdul Rahman.
Bapa mangsa segera terjun ke dalam terusan itu bagi menyelamatkan anak-anaknya, tetapi terpaksa naik semula selepas beliau sendiri hampir lemas.
Beliau kemudian berlari ke arah jalan besar, kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, dan menahan sebuah kenderaan bagi meminta bantuan menghubungi pasukan bomba dan penyelamat.
Anggota penyelamat mengambil masa dua jam untuk mencari mayat mangsa yang ditemui di dasar terusan itu.
'Saya mengambil kesempatan cuti hari ini (kelmarin) untuk membawa keluarga berkelah sambil memancing kerana sebelum ini tiada masa berbuat demikian disebabkan sibuk dengan tugas sebagai pengawal keselamatan di sebuah ladang.
'Saya tak sangka hasrat membawa keluarga berkelah sempena cuti sekolah untuk merapatkan hubungan keluarga berakhir tragedi apabila empat anak saya meninggal dunia serentak,' kata bapa mangsa, Encik Md Shamsuri. -- BHM, Harian Metro.
</font>